Batas Hubungan semasa bertunang
Biarpun seorang lelaki dan perempuan telah bertunang, hakikatnya mereka berdua tetap warga asing yang tidak diharuskan bergaul bebas atau apa-apa hak yang diberikan hanya kepada pasangan lelaki dan perpempuan yang telah berkahwin secara sah.
Saya bersyukur kerana jarak lapan jam perjalanan dengan bas bermanfaat untuk kami saling menjaga perhubungan. Sesekali menelefon untuk bertanya khabar dan berbincang tentang perancangan-perancangan berkaitan, namun kami mencuba sedaya upaya untuk tidak berlebih-lebihan.
Ada panggilan telefon mungkin sekadar beberapa minit.
Ada panggilan telefon mungkin perlu hingga satu jam.
Bertanyalah kepada hati, jika perasaan memberitahu bahawa perbualan itu mendatangkan resah dan bersalah, maka selesaikan perincangan dengan cara baik agar tidak berlebih-lebihan dan mendatangkan dosa. Sesungguhnya Allah maha mengetahui kamu saling menyayangi.
Rahsia pertunangan
Pertunangan juga tidak perlu dihebahkan.
Nabi sendiri ada mengingatkan kepada kita: “rahsiakan pertunangan dan iklankan(maklumkan) tentang perkahwinan”.
(Riwayat Ahmad daripada Abdullah bin Zubair r.a dan disahihkan oleh al-Abani di dalam Irwa’ al-Ghalil).
Pertunangan adalah komitmen penuh harapan yang belum pasti. Ia mungkin berakhir dengan perkahwinan, boleh juga tamat pada kesudahan yang tidak diharapkan. Namun Ulama’ menjelaskan bahawa hikmah Islam menggesa pertunangan itu tidak dihebahkan-hebahkan bagi ‘menjaga nikmat ini daripada dirosakkan oleh hasad manusia yang bertindak tidak baik’.
Kerahsiaan pertunangan itu juga menjadikan kita terkawal daripada berkelakuan seperti sudah bersuami isteri kerana hakikatnya seorang lelaki dan perempuan yang bertunang, masih asing dan sedang berada di medan ujian mengawal diri dan bijak mengatur komunikasi dengan pasangan yang bakal menemani hidup………..selama-lamanya sampai ke syurga abadi.....
Jangan tergesa-gesa, dan jangan bertangguh-tangguh.
Komitmen ‘atas angin’ yang tidak disegerakan kepada sebuah perkahwinan, sering berakhir hanya disebabkan oleh emosi yang saya terjemahkan ia sebagai JEMU.
Untuk mereka janganlah pula pendapat saya ini menjadi alasan untuk cepat seseorang itu memutuskan perhubungan. Janganlah biarkan emosi kita dipandu oleh keputusan-keputusan emosi semata-mata. Jika pasangan lelaki atau perempuan sudah baik agamanya, atau yang paling utama, sedia dididik dan mahu belajar, maka terimalah seadanya.
Saya cukup terkilan apabila mendengar ada daripada kalangan adik-adik khususnya Muslimah, yang terlalu mudah mengambil keputusan memutuskan hubungan semata-mata terasa ada kesilapan malah dosa yang terselit di celah-celah perkenalannya dengan seorang lelaki Muslim yang baik. Jika pernah buat silap, bwalah bertaubat dan bukannya dengan sewenang-wenangya membatalkan hubungan. Ingatlah pesan nabi S.A.W “Apabila datang melamar kamu seseorang yang kamu redha agamnya dan akhlaknya, maka kahwinkanlah. Jika tidak kamu laksanakan, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang luas.”
(Riwayat Turmuzi)
Dalam soal perkahwinan ini,
jangan tergesa-gesa dan jangan bertangguh-tangguh.




No comments:
Post a Comment